Tarian Zapin
Zapin merupakan tarian Melayu yang berasaskan kesenian Arab-Parsi yang telah disesuaikan dengan kesenian Melayu. Zapin bermaksud "gerak kaki ]" daripada perkataan al-Zafn. Tarian Zapin bercorak persembahan atau pertunjukan. Gerak tarinya berasaskan kaki penari-penarinya. Banyak tarian Melayu ciptaan baru mengambil rentak zapin sebagai irama tarian.

Cara Persembahan
Sebagai sebuah tarian persembahan,tarian zapin terbahagi kepada 3 peringkat. Peringkat pertama merupakan permukaan tarian atau pembuka tari. Peringkat kedua ialah pecahan atau gerak serta lenggang tari dan peringkat ketiga merupakan penutup tarian.


Pakaian
Sungguhpun Zapin mempunyai pengaruh Arab-Parsi, tetapi dari segi pakaian, penari-penari memakai pakaian Melayu selengkapnya iaitu bagi pihak lelaki berkain samping dan bersongkok manakala wanita pula memakai kurung berserta kain sarung.

Muzik
Alat muzik utama yang digunakan bagi mengiringi tarian zapin ialah gambus, rebana, gendang dan marakas. Petikan gambus untuk membawa lagu, sementara rentak gendang atau rebana menentukan rentak dan pecahan tari.