Rambut

Melebatkan Rambut

Jika ingin melebatkan rambut serta mengelakannya daripada gugur, kita perlu menggosokkan rambut dengan air daun bunga raya dan biarkan buat seketika. Kemudian barulah dicuci.

Kelapa tua diparut, kemudian diperah dengan air untuk mengambil lemaknya dan dibiarkan semalaman. Ambil inti putihnya yang terapung di atas permukaan air tadi lalu dimasak hingga keluar minyak. Masukkan beberapa helai pandan supaya berbau harum. Sapu ke rambut dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

Setelah makan nasi, kita akan mencuci tangan dengan air. Air yang terdapat pada tangan itu ada khasiatnya. Jangan lapkan air di tangan dengan kain, sebaliknya lapkan tangan yang basah di kepala. Amalkan petua ini setiap kali selepas makan.

Kupas sebiji kelapa tua dan belahlah dua. Isinya diparut dan embunkan selama semalam. Selepas matahari senja terbenam, ambil kembali isi kelapa tersebut pada awal pagi, sebelum matahari terbit. Lumurkan kepala dengan isi kelapa tersebut selepas mandi pagi dan balutkan dengan kain yang bersih. Setelah kepala terasa kering barulah dibuka balutan dan bolehlah kepala dicuci sehingga bersih. Untuk mendapatkan kesan yang lebih mujarab, amalkan petua ini selama tiga hari berturut-turut.

Perlu diingatkan bahawa sekiranya isi kelapa yang diembunkan itu ditimpa hujan, ini bererti bahan tersebut tidak boleh digunakan lagi. Dalam jangka masa mengamalkan petua ini, adalah dilarang daripada menyorok atau melalui di bawah tali penyidai pakaian kerana ini boleh menghilangkan khasiat amalan petua ini.

Untuk melebatkan dan menghitamkan rambut, lumurkan rambut dengan pati santan kelapa dan biarkan selama setengah jam. Sebaik-baiknya lakukan amalan ini berulang kali selama seminggu.

Ambilkan sebiji betik yang buahnya sudah masak dan jemurkan seketika di bawahcahaya matahari. Apabila cukup kering, biji betik tadi diangkat dan digoreng tanpa minyak sehingga garing. Selepas itu, tumbuk sehingga ia mengeluarkan minyak dan simpankan di dalam bekas. Sapukan minyak tersebut pada rambut dari pangkal hinggalah ke hujung rambut. Amalkan beberapa hari supaya rambut anda akan kelihatan hitam dan bersinar.

Rambut Berkutu
Sekiranya kepala berkutu, gunakan minyak tanah dan sapukan di kepala.

Mengelak Rambut Berbuah
Untuk membuang buah pada rambut, ambil beberapa batang kangkung kemudian direbus. Basuh rambut anda dengan air yang digunakan untuk merebus kangkung tadi. Biarkan untuk beberapa minit dan basuh semula dengan air bersih.

Membuang Kelemumur
Untuk membuang kelemumur di kepala, ambil buah mengkudu yang sudah masak. Sebelum itu, basahkan rambut anda dengan air biasa. Ambilkan buah mengkudu masak yang telah dipecahkan dan hancurkan di atas kepala (rambut). Ramaskan untuk beberapa ketika, kemudian barulah dibersihkan. Amalkan selama beberapa hari untuk menghilangkan kelemumur.

Salah satu daripada masalah yang tidak disukai oleh golongan remaja ialah kelemumur. Namun begitu masalah ini dapat diatasi dengan menggunakan buah limau kasturi. Ambil beberapa biji limau kasturi, kemudian potong dan letakkan di dalam bekas yang bersih. Apabila hendak mandi, lumurkan di atas kepala. Ada baiknya anda tidak gunakan sabun atau syampu buat sementara waktu. Ulangi cara ini selama 3 hari, Insya-Allah masalah ini akan hilang.