Hakcipta © 2004 Yayasan Budaya Melayu Sarawak
Beduk
Beduk ialah sejenis gendang yang panjang. Arannya diperbuat daripada batang kayu yang dibuang isi tengahnya. Pada hujungnya dipasang kulit kerbau atau kulit lembu. Beduk letaknya di anjung masjid atau surau. Ia dipukul sebagai tanda masuk waktu solat setiap hari.

Gendang Silat
Gendang ialah sejenis gendang yang badannya agak panjang dan kedua-dua permukaan arannya
dibubuh belulang kulit lembu atau kerbau. Ia digunakan dalam upacara bersilat.

Ketepung
Ketepung yang berfungsi seakan-akan bongo dalam muzik Barat ialah sejenis alat muzik tradisi. Ia berbentuk seperti gendang silat tetapi pendek. Ia digunakaan dalam ensemble muzik tradisi Melayu Sarawak sebagai alat rentak.

Idiofon
(Alat Muzik Paluan Logam/ Kayu)

Ketutung
Ketutung atau keluntung ialah alat muzik diperbuat daripada buluh yang diberi berlubang tirus di antara ruangnya. Ia dipukul dengan sekeping buluh atau kayu.

Dari segi tradisinya, ia dipukul untuk menghalau binatang atau unggas dari mengganggu huma. Ia juga dipukul sebagai alat komunikasi iaitu untuk menghantar perutusan atau mesej tentang bahaya yang mendatang dan sebagainya.

Gong atau Tawak
Alat ini berbentuk seakan-akan gendang tetapi diperbuat daripada tembaga atau loyang dengan bonjol di tengah-tengahnya. Bonjol itu dipukul untuk melahirkan bunyi. Dalam ensemble ia berperanan sebagai penerus dan penutup lagu.

Canang
Canang ialah gong yang lebih kecil. Fungsinya lebih merupakan alat pemanggil atau penarik perhatian orang ramai. Dan ia tidak terdapat dalam ensemble muzik Melayu tradisi. Dengan kata lainnya, ia hanya hadir sebagai isyarat pemanggil untuk mengumumkan sesuatu.

Engkeromong
Engkeromong asalnya daripada budaya Iban dan beberapa budaya di Semenanjung. Ia adalah siri gong kecil (sekitar 5 hingga 7 inci) dan dimainkan secara bersiri 8 buah, dengan masing-masing ada tona atau bunyi khusus.

Engkeromong hanya digunakan dalam ensemble muzik silat, berganding dengan gendang silat dan gong.